TABUNG 1 HEART DILANCARKAN

20/07/2009 23:50

Tabung 1 Heart ini adalah satu tabung yang diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membantu membiayai kos pembedahan 7 orang kanak-kanak berusia 1 bulan hingga 7 tahun yang disahkan menghidap penyakit jantung di tahap kronik.  Kesemua kanak-kanak ini mendapat rawatan di Pusat Rawatan Gleneagles, Pulau Pinang.  Tabung ini merupakan kerjasama pihak SEPAKAT bersama pihak hospital ini.  Daripada 7 orang pesakit, seorang bayi berusia 1 bulan, Mohd. Akram, telahpun menjalani pembedahan pada usia 7 hari namun kos pembedahannya sebanyak RM 45,000.00 masih lagi belum mencukupi. Manakala 5 orang lagi masih menunggu dana untuk menjalani pembedahan. Mereka ialah Lam Kai Yeong 6 tahun yang memerlukan  RM 30,000.00, Mitrans A/L Lakshmanan 21 bulan yang juga kanak-kanak sindrom down, yang memerlukan RM 45,000.00, Muhammad Arief Hadie 1 tahun RM 30,000.00, Balqis Al-Zahra 8 bulan RM 33,000.00 dan Sharvin A/L Jeevan 4 bulan RM 20,000.00 – RM 25,000.00. Kos keseluruhan pembedahan bagi keenam-enam mereka menjangkau RM208,000.00. Seorang lagi kanak-kanak Khaira Raihana, namun belum lagi dipastikan berapa kos yang diperlukan.

Biarpun menyedari bahawa kos pembedahan dan rawatan di Gleneagles ini adalah lebih tinggi daripada kos perubatan di institusi perubatan kerajaan, namun keluarga kanak-kanak ini bukan sengaja memilih untuk mendapatkan rawatan di sini. Walaupun pihak Institut Jantung Negara (IJN) menyediakan kemudahan rawatan ke atas anak-anak mereka dengan kos yang lebih murah, disebabkan mereka ini perlu menunggu giliran menyebabkan ibu bapa memilih menjalani rawatan di Gleneagles, memandangkan ada antara mereka memerlukan rawatan/pembedahan segera. Disamping itu, jarak perjalanan yang jauh, perlu mengambil cuti kerja yang agak panjang, dan perlu mengeluarkan belanja bagi kos perjalanan serta perbelanjaan tempat tinggal sewaktu menjalani rawatan anak mereka di Kuala Lumpur, adalah antara faktor ibu bapa mereka memilih untuk ke Gleneagles. Sedangkan jika di Gleneagles, kos bagi perjalanan dan tempat tinggal dapat dijimatkan begitu juga dengan jumlah cuti kerja yang perlu diambil kerana kesemua kanak-kanak ini tinggal di dalam Pulau Pinang dan Kedah.

Melihat kepada keperluan pembedahan ke atas kanak-kanak tersebut serta latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah, maka pihak SEPAKAT melancarkan Tabung 1 Heart untuk membantu mengumpulkan sumbangan bagi kos pembedahan mereka. Dalam usaha mengumpulkan dana melalui Tabung 1 Heart ini, beberapa pengusaha restoran nasi kandar di sekitar Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur telah bersetuju untuk bekerjasama dengan SEPAKAT. Setakat ini, pengusaha restoran Nasi Kandar Subaidah, Nasi Kandar Kapitan, dan Nasi Kandar Nashmir di Pulau Pinang serta Nasi Kandar Ali Maju di Kuala Lumpur telah menyatakan persetujuan untuk membenarkan tabung-tabung 1 Heart ini diletakkan di rangkaian restoran nasi kandar tesebut lebih kurang selama sebulan untuk memberi peluang kepada para pelanggan menghulurkan sumbangan. 

Dengan ini, pihak SEPAKAT ingin merayu bagi pihak kanak-kanak ini kepada orang ramai untuk bersama-sama membantu mereka. Pihak SEPAKAT yakin sekiranya masyarakat sekeliling masih lagi mengekalkan ciri keperihatinan dan kemanusiaan sepertimana kita membantu mangsa-mangsa bencana alam di peringkat antarabangsa, maka akan ada harapan dan sinar baru dalam kehidupan kanak-kanak ini. Kepada yang ingin menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Sekretariat Pengaduan & Kebajikan Rakyat (Donations Account), Nombor akaun : 024-000-5363-1, Hong Leong Bank Cawangan Butterworth, atau menghubungi SEPAKAT di talian 04-3332155 atau 013-5234188. Selain melalui pihak SEPAKAT, sumbangan juga boleh terus disalurkan kepada pihak hospital Gleneagles di atas nama Pulau Pinang Clinic Sdn. Bhd (10387-K) atau menghubungi Encik Henry Cheah, Eksekutif Pelanggan, Pusat Perubatan Gleneagles Pulau Pinang di talian 04-2202162.

Lagi gambar di Galeri SEPAKAT

Back

Search site

© 2008 All rights reserved.