Sumbangan Untuk Kanak-kanak Jantung Berlubang

19/06/2009 21:31

Siapa menyangka, wajah comel kanak-kanak yang menyentuh hati kita ini sebenarnya menanggung penderitaan di awal usia bayinya.  Puteri Nuralessa Adreena bt. Rosman Fitri, kanak-kanak berusia 15 bulan ini telah disahkan menghidap jantung berlubang sejak berusia 11 bulan.  Penderitaannya ini amat dirasai oleh ibu bapanya iaitu Rosman Fitri b. Zaman Ali 27 tahun, dan Ku Nurizmelia bt. Ku Izham, 21 tahun.  Apatah lagi bayi ini adalah anak sulung kepada pasangan muda ini.  Pasangan ini dimaklumkan bahawa anak mereka perlu menjalani pembedahan untuk mengelakkan komplikasi ke atas jantung dan keadaan kesihatannya kelak.  Pembedahan akan dijalankan di Pusat Perubatan Gleneagles, Pulau Pinang pada 15 Jun 2009.  Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, pasangan ini akur dengan keputusan doktor demi memastikan anak sulung mereka ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.  Kerisauan pasangan ini semakin bertambah apabila dimaklumkan bahawa kos pembedahan anak mereka menelan belanja RM 30,000.00.  Dengan gaji sebanyak RM 1,250.00 sebagai pegawai di syarikat keselamatan amat mustahil baginya untuk mengumpulkan jumlah tersebut dalam tempoh masa yang singkat. 

Pusat Pakar Perubatan Gleneagles yang bertanggungjawab untuk menjalani pembedahan Puteri telah membantu pasangan ini bagi membiayai kos pembedahan anak mereka.  Melalui kerjasama pihak hospital dengan Tabung Kebajikan NST Sdn. Bhd, pasangan ini mendapat bantuan kewangan sebanyak RM 15,000.00. Pembedahan ke atas Puteri telah dijalankan walaupun kos pembedahan tersebut belum mencukupi kerana apa yang penting bagi pihak hospital adalah nyawa kanak-kanak tersebut perlu diselamatkan terlebih dahulu.

Kesulitan dan tekanan hidup yang dihadapi oleh pasangan ini sedikit reda setelah anak mereka telah selamat menjalani pembedahan dan setelah bejaya mengumpulkan wang sebanyak RM 21,000.00 hasil sumbangan melalui Tabung Kebajikan New Straits Time Press (M) Berhad serta bantuan daripada pihak Pusat Urus Zakat sebanyak RM 6,000.00. Walaupun telah selamat menjalani pembedahan, namun kos pembedahan yang masih berbaki sebanyak RM 9,000.00 perlu dilunaskan.  Oleh itu, bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh pasangan muda ini, maka pihak SEPAKAT membantu mendapatkan dana bagi membiayai baki kos pembedahan tersebut. Justeru itu, SEPAKAT telah melawat Puteri Nuralessa pada pada 19 Jun 2009, 4 hari selepas pembedahannya untuk menyerahkan sumbangan bagi membiayai kos pembedahan yang masih berbaki.  Wang sumbangan sebanyak RM 10,000.00 ini diserahkan oleh Puan Azlina Mehtab Mohd. Ishaq selaku Ketua Pegawai Operasi Sekretariat kepada bapa Nuralessa, Rosman Fitri. 

 

 

 

Back

Search site

© 2008 All rights reserved.