Bantuan Kepada Remaja Tanpa Tempurung Kepala

13/06/2009 20:05

Ketika pelajar lain sibuk dengan buku-buku pelajaran dan persediaan untuk menduduki SPM, Azizi Khalib, 17 tahun, pelajar Sekolah Menengah Machang Bubuk pula terlantar menanggung kesakitan akibat kecederaan di dalam otaknya setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya pada 3 Mac 2009. Kemalangan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan dan bengkak di dalam otak. Tempurung kepalanya terpaksa dibuang untuk sementara bagi membolehkan pendarahan dihentikan dan bengkak di dalam otaknya surut.

Keadaan anak sulung kepada pasangan Khalib b. Yahaya dan Roslina Che Ros ini memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana seluruh bahagian sebelah kanan tubuhnya tidak dapat digerakkan manakala apa yang mampu dijamah olehnya adalah susu dan juga biskut bayi. Demi memastikan anaknya mendapat penjagaan yang secukupnya, maka Roslina Che Ros, telah berhenti kerja sebagai operator pengeluaran kilang di Prai dan kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suaminya, Khalib b. Yahaya yang bekerja kampung. Selain daripada Azizi, pasangan ini mempunyai 3 orang anak yang kesemuanya masih lagi bersekolah di peringkat rendah dan menengah. 

Beban kewangan keluarga ini amat dirasai kerana perlu memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM 1,300.00 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang untuk Azizi. Ini tidak termasuk dengan perbelanjaan isi rumah, persekolahan anak-anaknya serta bayaran sewa rumah mereka sebanyak RM 120.00 sebulan. Mujurlah pihak PUZ telah meluluskan bantuan sebanyak RM300.00 sebulan untuk pembayaran bil perubatannya manakala pihak JKM daerah SPT meluluskan bantuan RM300.00 sebulan.  Dan yang terbaru, pasangan ini perlu mendapatkan wang bagi membiayai kos pembelian peralatan pembedahan Azizi. Setelah 3 bulan lebih terlantar, pada 7 Julai 2009, Azizi perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan semula tempurung kepalanya setelah doktor mendapati tiada lagi pendarahan berlaku dan bengkak di dalam otaknya telahpun surut. Kos untuk membeli peralatan bagi pembedahan adalah sebanyak RM 1,200.00.

Melihat kepada kesukaran keluarga ini mengharungi kehidupan mereka, maka pada 12 Jun 2009, SEPAKAT bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Y.B Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir telah berkunjung ke rumah keluarga ini. Kunjungan kami ke rumah keluarga ini di Bukit Teh, bukan hanya untuk menziarahi mereka sekeluarga tetapi juga membawa khabar gembira kerana kos untuk peralatan pembedahan Azizi sebanyak RM 1,200.00 akan dibiayai sepenuhnya oleh Y.B Senator Datuk Musa.  Kelegaan jelas terpancar di wajah pasangan ini dan kini apa yang diharapkan adalah keadaan Azizi selepas ini akan lebih baik dari sekarang.  Manakala pihak SEPAKAT pula mengalu-alukan kepada orang ramai untuk membantu keluarga ini dalam bentuk apa jenis bantuan.  Untuk sebarang maklumat berkenaan keluarga ini, anda boleh menghubungi kami di talian 04-3332155 @ 013-5234188.

Back

Search site

© 2008 All rights reserved.